SHAH ALAM – Polis telah memulakan siasatan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga eHATI yang didakwa terpesong seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini selepas pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada akhir bulan Februari lalu.
Katanya, laporan dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program itu.
“Ya, pihak polis ada terima laporan berkaitan kejadian ini pada akhir bulan febuari lalu.
“Pada hari ini, kita telah panggil isteri pengadu beserta saksi-saksi lain di tempat kejadian untuk diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menyatakan pihaknya telah memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk turut hadir pada hari ini.
“Pihak kami nak sahkan beberapa perkara dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada tindakan dilakukan pihak kami atau JAIS,” katanya.
Justeru, beliau meminta mana-mana saksi agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan
Anuar Amilah di talian 019 225 5597 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh penganjur tahun lalu.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil. – KOSMO! ONLINE