fbpx

Peluang Azeem gegar pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (tengah) memikul peranan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada WUG 2025 di Jerman bermula 17 hinga 27 Julai ini. - SUKAN IPT

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menganggap temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dari 17 hingga 27 Julai ini merupakan medan terbaik untuk menguji kemampuan sebenar berdepan pelari-pelari handalan yang lain.

Dijangka berdepan cabaran pelari sensasi Thailand, Puripol Boonson serta beberapa atlet yang bersaing dalam kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat, namun ia langsung tidak membuatkan Azeem gementar.

Sebaliknya, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu tetap tenang dan fokus selain menjadikan cabaran tersebut sebagai pembakar semangat untuk dia menampilkan larian terbaik pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Ini adalah kejohanan bertaraf dunia dan bukan calang-calang atlet yang datang tetapi saya tahu siapa saya dan kemampuan diri. Kalau ikut perancangan sendiri dan tidak fikir orang lain, Insya-Allah saya boleh buat yang terbaik.

“Sasaran saya di sana nanti adalah memecahkan catatan terbaik musim ini, 10.20 saat (s), melayakkan diri ke pusingan akhir dan cuba membawa pulang pingat untuk Malaysia,” kata Azeem yang memegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan masa 10.09s.

Selain 100m, penuntut di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu akan beraksi dalam dua lagi acara pada WUG 2025 nanti iaitu 200m dan 4x100m dalam misi merealisasikan hasrat tujuh pingat ditetapkan kontinjen negara pada WUG kali ini.

Azeem yang sudah menjalani latihan selama tiga minggu di Malaysia mengakui sudah mula menyesuaikan diri tetapi mengubah sedikit jadual latihan bagi memastikan cuaca panas tidak menjejaskan prestasi.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu juga mahu mengekalkan sistem latihan yang diamalkan di AS kerana menganggap konsistensi akan menjadi penentu bagi menghadapi aksi kompetitif seperti WUG.

“Di sana (AS), kebiasaannya saya berlatih waktu tengah hari. Sekarang saya memulakan sesi sekitar pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sudah mula serasi selain tidak ada sebarang masalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI