SACHSENRING – Marc Marquez mahu lebih berhati-hati dan mengawal diri menjelang aksi Grand Prix Jerman hujung minggu ini, meskipun memiliki rekod luar biasa di Sachsenring dengan lapan kemenangan kelas perdana.
Namun, Sachsenring juga pernah menjadi lokasi mimpi ngeri buat bintang Sepanyol itu selepas pernah menarik diri pada edisi 2023 akibat kecederaan tulang rusuk ketika masih bersama Honda.
“Setiap kali anda tiba di Sachsenring, jangkaan memang tinggi. Saya hanya akan cuba mengawal diri. Itulah kunci utama hujung minggu ini.
“Saya perlu faham keadaan litar, terutamanya dengan ramalan cuaca sejuk dan kemungkinan hujan. Selain itu, saya perlu bijak menguruskan kedudukan dalam kejuaraan.
“Perkara paling penting ialah, walaupun saya banyak menang di sini, dua tahun terakhir ini saya alami patah tulang rusuk dan jari.
“Jadi, saya perlu bertenang dan fokus utama adalah untuk menamatkan perlumbaan di hadapan pencabar utama kami,” kata Marquez yang bersaing bersama Ducati.
Ditanya mengenai saingan, Marquez mengakui tumpuannya kini terarah kepada adiknya, Alex Marquez yang menghuni tangga kedua dalam carta keseluruhan.
Marquez kini selesa mendahului carta Kejuaraan Dunia MotoGP 2025 dengan 307 mata, jauh meninggalkan adiknya, Alex di tempat kedua dengan 239 mata dan Bagnaia ketiga (181 mata). – AGENSI