GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah trak pikap semasa sedang berhenti untuk membelok ke simpang di Kilometer 71, Jalan Gua Musang-Lojing di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Bilal Muhammad, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Gua Musang ke Lojing di sini berhenti untuk membelok ke simpang sebelah kanan jalan.
Katanya, pada masa sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dari arah sama merempuh motosikal mangsa yang berada di garisan tengah pembahagi jalan.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kemalangan sebelum dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE