fbpx

Jana RM12,000 jadi petani, penternak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Khalid menunjukkan ternakan ayam bersama hasil telur di reban miliknya di Kampung Gajah, Sungkai baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Tanggapan bahawa golongan belia tidak menggemari bidang pertanian dan penternakan kerana tergolong dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) ditepis oleh seorang anak muda yang mampu menjana pendapatan lumayan sehingga RM12,000 sebulan.

Muhammad Khalid Saifullah Md. Amin, 23, mula terlibat secara serius dalam kedua-dua bidang kritikal itu di Kampung Gajah, Sungkai di sini sejak 2019.

Graduan diploma dalam bidang binaan, Kolej Vokasional Ipoh itu bijak mempelbagaikan bisnes pertanian dan penternakannya supaya tidak bergantung pada satu sumber pendapatan semata-mata.

“Saya mengusahakan tanaman serai, pisang, cili kampung, durian dan manggis, selain turut menternak ayam, itik, lembu serta kam­bing di kawasan berdekatan rumah seluas kira-kira 1.21 hektar.

“Saya dapat membekalkan sumber makanan kepada penduduk sekitar Tanjung Malim dengan harga yang berpatutan, selain untuk ‘sara diri’ keperluan keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Muhammad Khalid menerangkan, dia turut membantu menjana ekonomi setempat terutamanya penduduk kampung dan masyarakat Orang Asli sekitar kerana menjadi peraih bagi hasil durian, manggis dan petai.

“Saya juga mempunyai beberapa pekerja daripada kalangan Orang Asli yang membolehkan mereka menambah pendapatan sampingan, selain dapat menimba pengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Ada dalam kalangan mereka yang telah mengusahakan perniagaan sendiri setelah bekerja beberapa tahun bersama saya, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Khalid tidak pernah memohon sebarang pinjaman untuk membiayai kos operasi perniagaannya.

“Konsepnya mudah iaitu gaji dan keuntungan saya laburkan semula untuk kos operasi seperti perbelanjaan makanan, utiliti dan pengurusan.

“Sisa sayuran dan buah-buahan dijadikan makanan tambahan bagi haiwan ternakan, sementara tinja diolah sebagai baja yang me­­n­yu­burkan tanaman. Setiap perkara dimanfaatkan sepenuhnya,” jelas beliau.

Tambah anak muda ini yang bercita-cita mempunyai pusat sembelihan haiwan berlesen sendiri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian Perak turut memberi bantuan berbentuk khidmat nasihat, pemasaran serta jualan bagi memastikan kesinambu­ngan perniagaannya.

Perkembangan ini selari de­ngan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Muallim sebagai Bandar Mesra Belia Tanjung Malim dengan tumpuan pada pertanian, perniagaan dan perkhidmatan.

Ia juga menepati flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI