fbpx

JAIS siasat program eHATI berkaitan doktrin palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - JANAAN AI

SHAH ALAM – Siasatan terhadap program motivasi rumah tangga (eHATI) akan dilakukan atas kesalahan doktrin palsu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.

“JAIS akan memanggil beberapa individu pada Selasa depan untuk membantu siasatan.

“Dalam masa yang sama, JAIS telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkerjasama menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS tidak menerima apa-apa aduan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini antara 27 hingga 30 September 2024.

Namun, kata beliau, JAIS pernah menerima aduan pada tahun 2022 daripada bekas peserta yang mengaitkan eHATI dengan beberapa isu yang disifatkan adalah tidak wajar dan tidak sesuai menjadi sebahagian modul dalam program motivasi rumah tangga tersebut.

“Berdasarkan aduan tersebut, penganjur eHATI telah dipanggil oleh Panel Pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor dan telah diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIS memandang berat perkara seumpama ini dan akan mengambil segala langkah untuk membendung serta membanteras apa juga aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak serta nilai etika yang ditolak oleh sesiapa pun di negeri Selangor dan negara ini umumnya.

“JAIS berharap dan memohon kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang program eHATI agar dapat menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, JAIS di talian Hotline 1800-88-2424 atau hadir terus ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI