MARAN – Seorang guru wanita maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu bertembung lori membawa mesin gerudi di Jalan Besar Jengka 20 di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Nurfarah Izyan Ismail, 28, dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Agama Al-Basriah, Jerantut menuju ke rumahnya di Sungai Gau, Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pemandu dan dua penumpang lori turut cedera, manakala penumpang belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat guru itu dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian mempunyai selekoh dan cuaca baik. Permukaan jalan juga basah ekoran hujan. – KOSMO! ONLINE