NOTTINGHAM – Nottingham Forest sedia mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap keinginan Tottenham Hotspur untuk mendapatkan pemain tengah yang juga kapten pasukan itu, Morgan Gibbs-White.
Forest tidak berpuas hati dan dikatakan mendakwa Spurs menggunakan ‘cara kotor’ untuk mencapai persetujuan melalui perjanjian khas dalam klausa perpindahan Gibbs-White bernilai £60 juta (RM344.82 juta).
Lebih mengeruhkan keadaan, pihak Forest terkejut apabila pemain tengah England itu hanya menanti waktu untuk menjalani ujian perubatan bersama Spurs yang sepatutnya dilakukan semalam.
Difahamkan, Forest tidak pernah memberikan sebarang kebenaran kepada juara Liga Europa itu untuk melakukan rundingan atau perbincangan dengan Gibbs-White.
Kini, pemilik Forest, Evangelos Marinakis sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan disebabkan peranan Gibbs-White amat penting buat kelab itu.
Berdasarkan peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelab tidak dibenarkan berunding dengan mana-mana pemain yang masih terikat kontrak dengan pasukan lain melainkan mereka telah diberikan kebenaran.
Sebagai rekod, Gibbs-White menyertai Forest daripada Wolverhampton Wanderers dengan kontrak selama lima tahun bernilai £42.5 juta (RM244.25 juta) pada Ogos 2022.
Kehadirannya amat penting buat skuad bimbingan Nuno Espirito Santo itu yang akan bersaing di pentas Eropah musim depan selepas sudah kehilangan Anthony Elanga kepada Newcastle United. – AGENSI