fbpx

ECRL capai 85 peratus siap, Terowong Genting ditembusi sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan sempena Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di Bentong, hari ini. - Foto IQBAL ROSLI / KOSMO!

BENTONG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) berjaya ditembusi sepenuhnya sekali gus menandakan tahap kemajuan projek kini mencecah 85 peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penembusan kedua-dua hala terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa dan menghubungkan Bentong, Pahang dan Gombak, Selangor itu disifatkan antara pencapaian terbesar dalam pembinaan ECRL setakat ini.

“Terowong Genting ini merupakan struktur paling mencabar daripada keseluruhan 41 terowong yang dibina sepanjang laluan ECRL sejauh 665km yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor.

“Lebih istimewa, terowong ini dijangka bakal menjadi terowong rel terpanjang di Asia Tenggara serta terowong rel dengan puncak tertinggi yang dibina di bawah banjaran setinggi lebih 750 meter,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di sini, hari ini.

Beliau berkata, Terowong Genting itu melibatkan kos dan risiko yang sangat tinggi, selain memerlukan kepakaran teknikal yang luar biasa.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan melibatkan aktiviti pengorekan berskala besar, pemasangan sistem keselamatan bawah tanah serta pemantauan geologi yang sangat kompleks kerana struktur tanah di Banjaran Titiwangsa tidak menentu dan berbahaya.

“Kita berdepan pelbagai cabaran teknikal sepanjang proses ini, namun pencapaian hari ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak terlibat.

“Fasa seterusnya akan memfokuskan kepada pembinaan jejambat, pemasangan landasan dan kerja-kerja elektrifikasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI