PETALING JAYA – Selang dua hari selepas tarikh ulang tahun Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kini giliran isteri beliau pula menyambut sambutan hari lahir ke-99.
Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali yang sinonim dengan kelembutan dan dedikasi kepada kesihatan awam genap 99 tahun hari ini menjadikan beliau antara figura wanita Malaysia yang masih aktif memberikan inspirasi walaupun usianya mencecah satu abad.
Meskipun tidak lagi memegang sebarang jawatan rasmi, Tun Hasmah tetap aktif menghadiri program kebajikan dan sering menemani Tun M dalam program-program tertentu.
“Dia wanita yang sangat budiman. Tutur katanya lembut teratur, pandangan matanya sangat ikhlas, selalu menguntuman dan dialah semangat utama Tun Dr. Mahathir.
“Dialah bonda kita, Tun Dr. Hasmah. Selamat ulang tahun ke-99 Tun. Semoga Allah selalu merahmati bonda,” kata seorang pengguna Facebook.
“Selamat ulang tahun Tun Hasmah. Terima kasih kerana sudi memberi Tun M berkhidmat kepada rakyat dengan penantian yang jujur belaian kasih yang jujur kepada suami tercinta, semoga sentiasa bahagia bersama keluarga tercinta,” kata seorang lagi pengguna.
“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran Tun Hasmah. Semoga dirahmati Allah dan dikurniakan afiyat di dunia dan akhirat. Lambang wanita yang gigih dan setia di belakang kemasyhuran seorang suami yang disanjung tinggi,” ujar pengguna X.
Orang ramai turut mendoakan agar pasangan itu diberikan kesihatan dan ketenangan dalam meniti usia emas mereka.
Tun Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor. Beliau merupakan antara wanita Melayu terawal yang menjadi doktor perubatan.
Pada 10 Julai lalu, Tun M menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 dan menerima pelbagai ucapan serta penghargaan termasuk dari luar negara. -KOSMO! ONLINE