TUGAS pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski dijangka bertambah mudah apabila empat pemain warisan ‘gred A’ Harimau Malaya sah menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, situasi itu memberikan kelebihan untuk membantu barisan kejurulatihan dalam merencana strategi terbaik buat skuad Harimau Malaya.
Menurut Mohd. Yusoff, urusan jurulatih lebih mudah untuk melihat sendiri prestasi empat pemain berdarah warisan di JDT dengan tiga daripadanya sudahpun beraksi buat skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa baru-baru ini.
“Saya rasa mereka memandang ke Malaysia ini atas faktor JDT juga. JDT memberi satu rangsangan yang menyebabkan mereka memandang tinggi ke Malaysia dan JDT juga beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya fikir kehadiran pemain ini di JDT secara tidak langsung menguatkan lagi pasukan kebangsaan.
“Kita tahu JDT mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia Kelab jadi persediaan mereka tepat dan kita mengambil kesempatan ini untuk skuad kebangsaan juga.
“Mereka juga lebih dekat dengan kita kerana beraksi di liga tempatan. Ini pun memberi kelebihan kepada Cklamovksi kerana pemain ini di depan mata dia, sentiasa berada dalam radar barisan kejurulatihan.
“Dengan ramainya pemain ini nanti, tentu memberi pilihan yang lebih besar kepada Cklamovksi untuk mendapatkan pemain yang terbaik sahaja bagi mewakili negara,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan.
Sebagai rekod, skuad JDT kendalian Xisco Munoz berjaya mengikat empat lagi warisan baharu seperti Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Nacho Mendez untuk lima kejohanan pada tahun depan.