fbpx

Bukan semua ‘air ajaib’ membawa kebaikan – PHM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - JANAAN AI

PETALING JAYA – Air piya yang dikaitkan dengan sebuah program motivasi berkemungkinan mengandungi bahan psikoaktif seperti ‘magic mushroom’ (kulat Psilocybin), iaitu sejenis kulat halusinogen yang sering ditemui di destinasi pelancongan seperti Bali.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), ia berikutan dakwaan yang mengatakan peserta yang diberi minuman itu secara tiba-tiba menjadi berani meluahkan rahsia peribadi dan menangis secara emosi.

PHM berkata, penggunaan kulat jenis ‘magic mushroom’ boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan kepada pengguna yang tidak menyedarinya, dan menjadi berbahaya sekiranya kandungan air tersebut tidak dikenal pasti.

“Antara kesan ‘magic mushroom’ ialah seseorang individu tersebut mempunyai emosi tidak stabil dari ketawa melampau ke tangisan tanpa sebab serta mereka bertindak secara luar kawalan iaitu membuka trauma silam.

“Selain itu, seseorang itu juga boleh mendapat risiko ‘bad trip’ iaitu contohnya sukar untuk melupakan pengalaman ngeri.

“Akhir sekali, mereka ini berisiko tinggi untuk beri kesan jangka panjang kepada kesihatan mental,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Difahamkan, air piya turut meninggalkan kesan seperti peningkatan rasa keghairahan, kepekaan tubuh serta lonjakan hormon seperti dopamin dan serotonin selepas pengambilan.

“Ini membuat seseorang lebih gembira, yakin, dan cenderung berpelukan, menyentuh atau bertindak secara impulsif. Dalam keadaan tertentu, ini boleh menyebabkan situasi yang memalukan atau berbahaya.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa air piya mengandungi bahan terlarang seperti psilocybin, ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

PHM menegaskan orang ramai untuk berhati-hati dengan apa yang diambil demi menjaga keharmonian negara dan bukan semua ‘air ajaib’ membawa kebaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI