SERDANG – Dua individu cedera selepas lori dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Pusat Perdagangan Olive, Seri Kembangan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.13 pagi itu, sebuah van jenis Toyota dilaporkan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Toyota Harrier serta lori satu tan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.13 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Lima anggota termasuk seorang komander operasi dikejarkan ke lokasi dan mendapati dua mangsa, masing-masing lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an tersepit di dalam lori berkenaan.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Mangsa lelaki mengalami patah kaki manakala wanita tersebut cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Serdang untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE