PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa dirinya dirakam secara senyap oleh seorang pemandu e-hailing ketika tertidur di dalam kenderaan berkenaan semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Menerusi satu hantaran tular di Facebook, wanita itu berkongsi pengalamannya menaiki perkhidmatan e-hailing dan menyedari kejadian itu ketika hampir tiba di rumah rakannya.
“Dua hari lepas, balik kerja guna e-hailing. Penat sangat sampai tertidur dalam kereta. Tersedar sebab ada orang call. Pemandu tu senyum dan kata ‘penat sangat ya kerja harini sampai tertidur’. Saya cuma iyakan.
“Masa nak sampai rumah kawan (sebab saya tidur rumah dia malam itu), saya nampak dia tekan telefon laju-laju. Rupa-rupanya dia ambil gambar saya masa tengah tidur. Saya sumpah terkejut dan terus tanya dia kenapa ambil gambar saya, tetapi dia tak mengaku. Sebab tu saya terus rakam video ni,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu berkenaan dan menyarankan agar laporan polis segera dibuat.
“Dia ingat nak buat konten kelakar kot… ‘post’ video penumpang tidur dalam kereta… dia tak tahu benda tu salah,” kata Tengku Hazbul.
“Kalau buang pun, dia masih boleh akses balik gambar-gambar tu,” komen Lilith Eva.
“Pergi buat laporan je… mana boleh main-main. Buatnya dia jual gambar tu, bukan kita tahu… benda boleh buat duit,” ujar Mat Ady. – KOSMO! ONLINE