PETALING JAYA – UMNO merafak sembah dan menzahirkan rasa syukur susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara kelmarin, yang memperakui perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengesahan tersebut membuktikan kewujudan titah rasmi bagi membenarkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib yang kini menjalani hukuman penjara.
“UMNO dengan penuh takzim merafak sembah memohon limpah ihsan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah berkenaan dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Baginda menurut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan harapan agar titah tersebut memberi ruang untuk Najib menerima keringanan hukuman yang telah tertangguh lebih setahun lalu.
“Semoga dengan limpah kurnia dan belas ihsan Tuanku, Datuk Seri Najib akan memperoleh sedikit kelegaan selepas lebih setahun menunggu pelaksanaan titah tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu pada Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE.