PETALING JAYA – Tindakan pantas Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas helikopter yang mereka naiki terhempas semasa Eksesais Keselamatan Rentas Sempadan MITSATOM 2025, semalam.
Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, insiden berlaku ketika latihan medan yang turut disertai pasukan keselamatan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
“Ketika suasana panik, 10 anggota STAR Team bertindak sebagai penyelamat pertama (first responder).
“Mereka telah terjun ke laut dan membawa semua mangsa ke bot keselamatan terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut APMM, pasukan diketuai Timbalan Skuadron Gempur STAR Team Semenanjung, Leftenan Madya Maritim Nur’ Mohd. Farhan Mohd. Hamil.
Katanya, tindakan pantas itu menunjukkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi semua anggota dalam menyelamatkan semua mangsa tanpa sebarang kehilangan nyawa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah helikopter milik PDRM terhempas ke dalam Sungai Pulai berhampiran Jeti APMM Jalan Cabang, Pekajang, Gelah Patah dekat Johor, semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 10.25 pagi.
Beliau berkata, mangsa melibatkan dua pegawai kanan dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupan. – KOSMO! ONLINE