PERNAH menjayakan 60 konsert sepanjang tiga dekad bergelar anak seni membuatkan penulis tertanya-tanya apa lagi yang akan dipersembahkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk Violet Skies: Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars Genting Highlands.
Penulis sendiri sudah hilang kira-kira berapa banyak konsert Siti yang sudah ditonton. Tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut penyanyi nombor satu negara ini melangsungkan konsert solo di puncak Genting Highlands.
Bukanlah mahu meluahkan rasa bosan. Perkara itu tidak mungkin berlaku untuk penyanyi seperti Siti. Tetapi teringin juga melihat Siti menghidangkan sesuatu yang berbeza buat santapan peminat.
Kali ini Siti tampil dengan seleksi lagu yang berlainan serta susunan muzik baharu yang segar serta menghiburkan.
Memandangkan konsert berlokasikan Arena Of Stars, tiada apa yang boleh diubah dari segi rekaan pentas. Sudah begitu bentuknya, tidak seperti di Arena Axiata kerana pentas boleh direka mengikut cita rasa penyanyi serta penganjur.
Tetapi tidak mengapa, apa yang lebih penting adalah persembahan yang menghiburkan serta menjadi memori indah buat peminat.

Lautan ungu memenuhi segenap ruang Arena Of Stars memandangkan tema konsert pada malam itu adalah violet atau warna ungu. Sekilas Arena Of Stars kelihatan seakan-akan sebuah ladang lavender.
Siti membuka tirai dengan lagu hit Aku Cinta Padamu yang diberi nafas baru. Kali ini Siti bermain dengan elemen ‘catchy’ dan berdansa bersama barisan penari.
Masuk sahaja lagu kedua, Siti membawa peminat terbang ke 20 tahun lalu apabila menyampaikan lagu rancak berjudul Pendirianku. Jarang dia membawakan lagu itu dalam mana-mana konsert.
Paling buat ramai ‘histeria’ apabila Siti menyampaikan lagu hit yang dirilis pada 1998 iaitu Sendiri kerana sedia maklum bukan mudah untuk dialunkan.
Lebih mengagumkan apabila Siti menyuntik teknik soprano di pertengahan persembahan menjadikan persembahannya pada malam itu lebih dramatik dan mahal.
Usai persembahan ibu kepada dua cahaya mata itu menerima sorakan dan tepukan paling gemuruh daripada ribuan peminat. Peminat seakan-akan puas dan dapat lepas geram apabila melihat penyanyi kesayangan mereka menyampaikan lagu Sendiri dengan hebat.
Usai menyanyikan lagu berkenaan, Siti mengakui gementar dek melakukan teknik soprano.
“Bila sampai bahagian soprano sahaja jantung saya berdegup laju. Dup dup dup. Anda tak dengar. Kalau saya letak mikrofon di dada mungkin boleh dengar.

“Tetapi alhamdulillah dengan semangat yang anda bawa saya dapat buat dan lagu ini sebenarnya ada ‘hantu’.
‘Hantu’ lagu ini masuk dalam badan saya. Jangan salah faham, saya bergurau sahaja,” katanya bercanda.
Bagi mengenang jasa pengarah muzik konsert itu, Aubrey Suwito yang sudah lama menjalin kerjasama, Siti menyampaikan lagu pertama ciptaan Aubrey buatnya yang diterbitkan pada 2001 iaitu Beradu Di Khayalan.
Menurut Siti, Aubrey akan sedaya supaya melunaskan apa sahaja yang diimpikan dalam nyanyiannya.
Bagi menghargai para peminat yang tidak lelah menyokong kariernya sejak 1995, Siti menghadiahkan lagu Seindah Biasa yang diciptakan khas buat mereka.
Karya itu ibarat lagu tema buat peminat Siti terutamanya Sitizoners. Mendengar lagu itu dialunkan Siti, terimbas semula kenangan sewaktu Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour 20 tahun lalu.
Penulis pasti ramai yang masih menyimpan kenangan manis menonton persembahan mega percuma itu.
Antara persembahan yang melekat kuat di hati penulis adalah menerusi lagu Kau Kekasihku. Siti menyampaikan karya ciptaan Ajai itu dengan susunan muzik baharu bernuansa ‘oriental’. Dia juga menyanyi sambil menari tarian kipas. Terasa seperti melihat sebuah persembahan opera, sungguh mengasyikkan.
Tidak lengkap rasanya konsert Biduanita Negara itu tanpa artis undangan. Kali ini Siti mengambil peluang menonjolkan bakat seorang lagi anak saudaranya, Amad.
Siti dan Amad berpadu suara menerusi lagu Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta.
Selain Amad, Siti turut mengundang Noh Salleh yang juga vokalis kumpulan Hujan untuk berduet dengannya. Sesuatu yang agak berlainan kerana Noh dikenali sebagai bintang dalam kelompok ‘indie’.

Menurut Siti, peminatnya turut tertanya-tanya kenapa dia mengundang Noh dan lagu apa yang bakal dinyanyikan.
Biarpun gandingan itu mungkin tidak diduga dan kelihatan canggung pada awalnya, ternyata paduan suara mereka tidak kurang hebatnya.
Tiga lagu disampaikan secara duet iaitu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap. Gegak gempita Arena Of Stars dengan sorakan penonton apabila Siti dan Noh menyampaikan lagu Pagi Yang Gelap.
Menghangatkan lagi suasana, Siti menyanyikan rangkaian lagu rock 90-an yang disifatkannya sebagai karya berhantu.
Biarpun genre rock bukanlah makanan hariannya, Siti berjaya memukau jiwa hadirin dengan lagu Di Alam Fana Cinta, Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Tika Dan Saat Ini.
Memandang tidak lama lagi Siti akan menganjurkan konsert irama tradisional, pada konsert kali ini dia hanya menyampaikan dua lagu tradisional iaitu Badarsila dan Bintang Malam sebagai pengubat rindu peminat yang mahu melihatnya menyanyikan lagu genre itu.
Tuntasnya, biarpun beribu kali Siti Nurhaliza melakukan konsert, tak kira di mana sahaja, tetap memberikan 1,001 kenangan manis buat peminat tegarnya.
Sehingga bertemu lagi di konsert akan datang.