fbpx

Pilihan raya bukan keutamaan Myanmar buat masa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – ASEAN menegaskan bahawa pilihan raya bukanlah keutamaan utama bagi Myanmar ketika ini, sebaliknya menuntut tindakan segera untuk menghentikan keganasan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan kepada semua pihak yang memerlukan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan mengadakan pilihan raya pada masa ini akan menambah buruk lagi situasi konflik di Myanmar.

“Kami menasihati Myanmar supaya pilihan raya bukan keutamaan untuk masa sekarang. Keutamaannya adalah berhentikan segala orang kata keganasan, kekejaman, berhentikan segala-gala supaya semua pihak dapat duduk bersama.

“Mereka memerlukan kehidupan yang baik dan segala bantuan-bantuan antarabangsa dapat sampai ke tempat yang kita bagi dan barulah boleh kita memikirkan supaya mereka nak mengadakan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, tumpuan utama ASEAN ketika ini adalah pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui bersama Myanmar pada 2021, termasuk gencatan senjata menyeluruh dan dialog inklusif antara semua pihak berkepentingan.

Beliau mengakui bahawa pihak berkuasa Myanmar memaklumkan tentang pelaksanaan gencatan senjata sementara, namun ASEAN mahukan langkah itu diperluaskan ke seluruh negara dan dijadikan kekal.

“Kita mahu semua rakyat Myanmar dapat kembali kepada kehidupan normal dan menikmati hak mereka, termasuk akses kepada bantuan kemanusiaan. Ini mesti menjadi syarat utama sebelum apa-apa cadangan pilihan raya dikemukakan,” katanya.

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan, Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengesahkan negara itu akan mengadakan pilihan raya pada Disember dan Januari depan.

Bagaimanapun, pemantau antarabangsa mengecam langkah itu sebagai satu bentuk pilihan raya palsu.

Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan awam dalam rampasan kuasa pada 2021, yang mencetuskan perang saudara pelbagai pihak, namun junta tetap mempromosikan rancangan pilihan raya itu sebagai laluan ke arah perdamaian.

Dengan tokoh kerajaan terdahulu dipenjarakan, kumpulan pembangkang dijangka memboikot pilihan raya dan sebahagian besar wilayah kini dikuasai kumpulan penentang anti-junta, pemerhati menyatakan pilihan raya yang adil adalah mustahil untuk dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI