PETALING JAYA – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memohon pihak berkuasa agama dan tempatan menyiasat serta mengambil tindakan terhadap satu program yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.
Menurut beliau, program seperti itu wajar digantikan dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berpandukan al-Quran dan sunah.
Dalam masa sama, beliau menegur ahli motivasi supaya sentiasa cakna dengan sebarang intipati program jati diri dan penyediaan modul yang boleh menyesatkan akidah serta meruntuhkan moral dan akhlak.
“Pengisian program tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah umat Islam serta bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia dan diiktiraf oleh setiap manusia tanpa mengira agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh penganjur tahun lalu.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil.
Sementara itu, Ahmad Fauwaz berkata, program itu seakan-akan menggalakkan wanita untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami kerana mereka mampu mencapai kebahagiaan dan kepuasan nafsu sendiri.
Menurutnya, ajaran itu jelas bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW kerana wujudnya penafian terhadap fitrah dan keinginan semula jadi manusia untuk berkahwin sekali gus merencatkan institusi kekeluargaan.
Selain itu, ujarnya, program tersebut yang menggunakan unsur-unsur seksual dan mempromosikan masturbasi sebagai bentuk rawatan emosi juga adalah satu penyelewengan yang nyata.
Jelas beliau, Islam menegaskan perlunya penjagaan maruah serta kehormatan diri dan galakan terhadap aktiviti seksual secara bebas boleh membawa kepada penzinaan, ketagihan seksual dan menghilangkan rasa malu.
“Bahkan memiliki dan menjual alatan atau bahan-bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan moral atau kepentingan awam adalah dilarang dan boleh dianggap satu jenayah di sisi undang-undang negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai salah satu ajaran yang dibawa menerusi program tersebut iaitu Yoni Massage yang diambil daripada falsafah Tantra yang bersumberkan daripada tradisi agama Hindu dan Buddha.
Tambahnya, ia termasuk salah satu fahaman sinkritisme yang diserapkan ke dalam gerakan New Age.
“Sudah tentu, ia merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan agama Islam kerana melibatkan falsafah yang sesat dan ritual-ritual tertentu di samping ia bertentangan dengan nilai dan akhlak mulia.
“Islam tidak menerima pencampuran dengan kepercayaan-kepercayaan asing dengan ajarannya yang suci murni,” katanya.
Tambah beliau, seseorang muslim tidak boleh mempraktikan ritual agama lain yang mempunyai kepercayaan atau fahaman yang sesat tersendiri, walaupun kemungkinan terdapat manfaat padanya.
“Hal ini kerana kemurnian akidah dan kesucian agama itu lebih utama dan penting untuk dipelihara berbanding daripada mendapat manfaat yang sedikit itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE