fbpx

Malaysia sasar tujuh pingat WUG 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMBRI (tengah) ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontinjen WUG 2025 di Putrajaya sebentar tadi. - SUKAN IPT

PUTRAJAYA – Tujuh pingat tidak mengira warna menjadi sasaran kontinjen negara yang akan menggalas misi pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine Ruhr, Jerman bermula 17 hingga 27 Julai ini.

Sasaran itu diumumkan ketua kontinjen (CDM), Datuk Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Yusoff pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambri Abdul Kadir sebentar tadi.

Hafiz berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi semasa barisan atlet selain ada beberapa acara yang menyumbang pingat pada edisi 2023 di Chengdu, China tidak dipertandingkan kali ini.

“Kita telah meletakkan sasaran sebanyak tujuh pingat tanpa mengira warna kerana kita sudah melakukan analisis selain melihat senario semasa, terutamanya yang melibatkan acara-acara sukan kita tahun ini.

“Selain itu, ada juga beberapa acara yang menyumbang pingat sebelum ini tidak dipertandingkan. Oleh itu, sasaran tujuh pingat tanpa mengira warna adalah realistik,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis.

Pada edisi kali ini, kontinjen Malaysia menghantar 64 orang atlet yang terdiri daripada 39 lelaki dan 25 wanita dengan atlet pecut, Muhammad Azeem Fahmi diberikan penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Malaysia juga akan menyertai enam daripada 19 jenis sukan yang dipertandingkan termasuk gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo.

Antara sandaran utama negara pada temasya sukan berprestij itu termasuk Azeem yang merupakan jaguh pecut tanah air, pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman serta trio memanah wanita, Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI