MUAR – Tindakan seorang lelaki etnik Rohingya ‘menyentuh’ gadis orang kurang upaya (OKU) dalam kedai runcit di Batu Pahat, minggu lalu membawa padah apabila dia dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Ali Monjur Ahammed, 23, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) turut dikenakan dua sebatan selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 17 tahun lapan bulan di sebuah kedai runcit Jalan Engan, Batu Pahat, pukul 6.35 pagi 3 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa selepas mendapati remaja itu menangis ketika pulang dari kedai runcit tempat tertuduh bekerja.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa ke kedai terbabit untuk mengambil bekalan barangan runcit dan tertuduh mengajaknnya ke tandas.
Namun, mangsa enggan menuruti arahan tertuduh sebelum beredar meninggalkan premis itu.
Tertuduh bertindak mengejar mangsa lalu memeluknya yang menyebabkan mangsa menangis kerana ketakutan.
Daripada siasatan polis, tertuduh sebelum ini pernah mengajak mangsa berkahwin dengannya namun gadis itu menolak lamarannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain penjara dan denda, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman.-KOSMO! ONLINE