PHNOM PENH – Parlimen Kemboja meminda perlembagaan hari ini, membuka jalan bagi rakyat yang didakwa bersubahat dengan anasir luar dilucutkan kewarganegaraan meskipun undang-undang sedemikian dikhuatiri digunakan untuk menutup mulut pengkritik kerajaan.
Kumpulan hak asasi manusia telah lama menuduh kerajaan Kemboja menggunakan undang-undang kejam untuk menyekat pembangkang dan perbezaan politik yang sah.
Kesemua 125 ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri Hun Manet mengundi untuk menukar ungkapan perlembagaan kepada ‘penerimaan, kehilangan dan pembatalan kewarganegaraan Khmer(Kemboja) perlu ditentukan oleh undang-undang’, lapor wartawan AFP.
Perlembagaan sebelum ini berbunyi: “Tiada warganegara Khmer boleh dilucutkan kerakyatan, dibuang negara atau diekstradisi ke negara lain melainkan dengan persetujuan bersama”.
Menteri Kehakiman Koeut Rith memberitahu pemberita bahawa pindaan itu akan membuka jalan kepada pihak berkuasa untuk meluluskan undang-undang membolehkan kerajaan melucutkan kerakyatan sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan kuasa asing untuk menentang negara.
“Jika anda mengkhianati negara, negara tidak akan menyimpan anda,” katanya sambil menambah, undang-undang pembatalan kewarganegaraan baharu akan segera dikemukakan kepada Dewan Negara untuk kelulusan.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembatalan kewarganegaraan adalah ‘pelanggaran keji undang-undang antarabangsa’.
“Kami amat bimbang kerajaan Kemboja yang diberi kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang akan menyalahgunakannya untuk menindas pengkritik dan menjadikan mereka tanpa negara,” kata pengarah penyelidikan serantau Amnesty International, Montse Ferrer. – AFP