ASSALAMUALAIKUM Datuk, apakah dibolehkan untuk seorang manusia berkahwin dengan jin?
JAWAPAN: Jin merupakan sebahagian daripada makhluk Allah SWT. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS.
Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.” (Surah Al-Hijr, 26 – 27)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS.
“Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20).
Kami telah mengulas dengan panjang lebar sama ada golongan jin ini termasuk dalam kalangan mukallaf yang ditujukan kepada mereka perintah dan larangan syarak dalam ‘Irsyad Usul Al-Fiqh Siri ke- 41 : Adakah Golongan Jin Itu Mukallaf?’
Bagi mengulas berkenaan persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa secara umumnya, para ulama berbeza pendapat tentang hukum manusia berkahwin dengan jin.
Kata Syeikh Abu Hamid Al-‘Imad bin Yunus Rahimahullah, “Ya, boleh untuk manusia berkahwin dengan jin.”
Manakala Syeikh Syarafuddin Al-Barizi pula berkata: “Tidak dibolehkan bagi seseorang lelaki itu untuk berkahwin dengan seorang wanita daripada kalangan jin.”
Ini berdasarkan mafhum daripada dua firman Allah yang berikut: “Dan Allah telah menjadikan buat kamu isteri-isteri daripada diri kamu sendiri.” (Surah Al-Nahl (72)
Begitu juga firman Allah S.W.T: “Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri dari diri kamu sendiri supaya kamu berasa tenang kepadanya. (Surah Al-Rum, 21)
Antara ulama yang melarang perkahwinan antara manusia dan jin ini ialah Imam Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, Al-Hakam bin ‘Utaibah, Ishaq bin Rahawaih serta ‘Uqbah Al-Asom.
Begitu juga Syeikh Yusuf bin Ahmad Al-Sijistani daripada kalangan fuqaha Al-Hanafiyyah menyebut: “Tidak dibolehkan perkahwinan antara manusia dengan jin.” (Rujuk Munyah Al-Mufti ‘an Al-Fatawa Al-Sirajiyyah)
Antara hujah lain menyebutkan bahawa pernikahan itu disyariatkan untuk menimbulkan perasaan kasih sayang dan ketenangan (antara dua pasangan).
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, hukum perkahwinan antara manusia dengan jin adalah dilarang.
Ini bertepatan dengan maqasid syarak daripada pensyariatan perkahwinan sesama manusia antara lelaki dan perempuan iaitu untuk menghasilkan sakinah, mawaddah serta menyebar luaskan keturunan manusia daripada kalangan lelaki serta perempuan.
Lebih-lebih lagi syarak amat menekankan tuntutan kafaah yakni sekufu sesama pasangan dalam sesuatu perkahwinan.