JOHOR BAHRU – Pegawai polis yang terlibat dalam nahas helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam sempat meminta bapanya supaya mendoakan agar perjalanannya selamat.
Baharom Mohammed, 82, berkata, anaknya, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom menghubunginya awal pagi semalam dan memaklumkan akan menaiki helikopter.
“Jadi saya pun kata ya akan doakan untuk dia. Tidak lama kemudian saya terima satu lagi panggilan telefon memaklumkan helikopter dinaiki anak bersama empat yang lain terhempas.
“Memang terkejut, tetapi alhamdulillah dia selamat. Tengok keadaan rakannya ada yang lagi teruk. Kami sekeluarga doakan yang baik-baik untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.
Menurut pesara pengetua dari Alor Setar itu, dia bertolak dari Kedah pada pukul 10 malam semalam sebelum tiba di Johor Bahru pukul 8 pagi tadi.
“Keadaan dia (Ahmad Bustamin) makin baik, cuma mukanya bengkak, tulang rusuknya patah serta kaki kebas. Alhamdulillah dia pakai helmet dan menjalani latihan ketika berdepan situasi cemas sedemikian.
“Difahamkan dia mangsa pertama yang berjaya keluar dari helikopter, ada rakannya yang pengsan ketika kejadian,” kata bapa lima anak itu.
Baharom memberitahu, anaknya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2005. Ahmad Bustamin sudah berkahwin dan memiliki empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah helikopter milik PDRM terhempas ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Kejadian itu berlaku pada pukul 10.25 pagi. Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dan nahas dilaporkan berlaku di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah.
Mangsa melibatkan dua pegawai kanan dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota Balai Polis Tanjung Kupang.-KOSMO! ONLINE