fbpx

‘Ibu pengsan dapat tahu ayah lemas di Sungai Korok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazriah melihat lokasi enam beranak ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra pada Isnin lalu.

JITRA – Pemergian enam beranak dalam kejadian tragis di Sungai Korok, di sini mengimbau kembali cerita duka seorang guru yang kehilangan bapa tersayang di sungai sama, 37 tahun lalu.

Menurut Nazriah Abd. Razak, 46, bapanya, Allahyarham Abd. Razak Osman terkorban pada usia 38 tahun di sungai tersebut bersama dua lagi rakannya berusia lingkungan 30-an pada 15 Jun 1988.

“Bila jadi kejadian enam sekeluarga lemas itu, saya teringat kembali kisah hampir sama yang mana saya kehilangan ayah, juga akibat lemas di sungai tersebut.

“Kereta dinaiki ayah bersama dua lagi rakan terbabas ke dalam Sungai Korok ini dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas,” katanya ketika ditemui di Sungai Korok, di sini hari ini.

Gambar kenangan Allahyarham Abd. Razak (kanan).

Katanya, ketika kejadian berlaku, dia yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik baru berusia sembilan tahun.

“Waktu itu, ayah bersama dua rakan dalam perjalanan dari rumah di Felda Chuping, Perlis ke Alor Setar dan mahu singgah di Jitra sebelum kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok kira-kira pukul 6 pagi.

“Kami dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 8 pagi oleh dua anggota polis yang datang ke rumah. Mak (Khatijah Abdullah, 72) yang ketika itu berusia 35 tahun terus pengsan sebaik mendapat tahu ayah sudah tiada,” ujarnya.

Menurutnya, dia difahamkan mayat bapanya berada di tempat duduk penumpang belakang kereta yang terbabas itu.

“Jenazah bapa kemudian dibawa ke Pokok Sena, dekat sini untuk dikebumikan. Kejadian memberi kesan trauma kepada kami sekeluarga terutama mak dan adik bongsu yang ketika itu berusia dua tahun.

“Mak dan adik bongsu terpaksa dibawa berubat dan mereka ambil masa hampir setahun untuk pulih seperti biasa,” jelasnya.

Ceritanya, dia sempat berbual dengan bapanya sebelum arwah keluar dari rumah pada hari kejadian.

“Pagi itu saya tak pergi sekolah kerana demam, saya tanya ayah nak pergi kerjakah? Ayah kata kalau saya tak demam, boleh ikut ayah. Ayah kata tak usah ikutlah sebab ayah nak pergi jauh, itu yang saya ingat sangat,” ujarnya.

Menurutnya, ibunya enggan mengikuti kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga itu dan hanya beritahu dia sedih.

“Ayah saya pergi sudah lama tetapi kejadian tragis baru-baru ini menyebabkan saya sekeluarga sebak dan teringatkan ayah.

“Saya membayangkan keadaan mereka terutama anak-anak kecil dan bayi. Ayah saya dewasa pun tak dapat selamatkan diri, inikan pula anak-anak kecil. Walau apapun saya reda dengan ketentuan Ilahi ini,” katanya.

Tambahnya, setiap kali menggunakan laluan di Sungai Korok itu, dia dan ibunya pasti akan teringatkan kembali kejadian yang meragut nyawa bapanya.

“Saya memang akan berhati-hati bila guna jalan ini sebab laluan ini gelap bila malam, selain jalan lurus yang mungkin boleh menyebabkan microsleep,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI