fbpx

Degil bina reban haram di rumah teres, 37 ayam disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ayam yang disita DBKL dalam operasi dijalankan ke atas sebuah rumah teres di sekitar Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemilik rumah teres, di sini, yang menjalankan aktiviti penternakan dengan menjadikan kediamannya sebagai tempat penyimpanan ayam hidup mengundang padah apabila digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL berkata, pemeriksaan mendapati pemilik premis telah membina struktur tambahan secara haram di belakang rumah dan meletakkan beberapa reban ayam di situ.

Menurutnya, hasil pemantauan, premis tersebut berada dalam keadaan kotor dan berbau busuk, sekali gus mengganggu keselesaan serta keharmonian jiran tetangga.

“Struktur tambahan yang dibina terletak di atas rizab jalan, menjadikannya satu pelanggaran dari sudut teknikal dan undang-undang.

“Walaupun telah diberikan Notis Menghentikan Kacauganggu di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 1 Julai lalu, pemilik didapati ingkar dan meneruskan aktiviti penternakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 37 ekor ayam telah disita dan dibawa ke Unit Kawalan Pest DBKL untuk tindakan lanjut.

“Satu kompaun turut dikenakan atas kesalahan tidak mematuhi notis serta menternak unggas dalam premis kediaman,” ujarnya.

Justeru, DBKL menegaskan warga kota adalah dilarang sama sekali untuk membina reban dan menternak ayam atau unggas di kawasan perumahan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tambahnya, DBKL akan terus melakukan pemantauan dan tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang demi kesejahteraan komuniti bandar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI