NEW YORK – Paris Saint-Germain berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan catatan sejarah yang penuh gemilang apabila berpeluang merangkul satu lagi trofi selepas mara ke pentas final Piala Dunia Kelab (CWC).
PSG yang hadir selaku juara Eropah nyata berada pada kelas berbeza selepas mudah menumbangkan Real Madrid 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium MetLife, awal pagi semalam.
Pengendali PSG, Luis Enrique menggesa para pemainnya untuk meningkatkan kemahuan dalam usaha memburu trofi kelima bagi melengkapkan musim paling cemerlang dalam sejarah kelab tersebut.
“Ia adalah kejayaan yang cukup manis dan sudah pasti kami gembira untuk mara ke perlawanan akhir. Walaupun terpaksa lalui cabaran sukar, inilah objektif kami sejak daripada awal penyertaan di kejohanan ini.
“Tidak banyak pasukan yang mampu melakukan apa yang kami lakukan dan kini kami hanya ada satu lagi perlawanan untuk dihabiskan. Kami berpeluang mencipta sejarah buat warga Paris dan kelab Perancis dengan memenangi setiap pertandingan yang disertai,” katanya.
Dua gol yang dihasilkan oleh Fabian Ruiz diikuti satu jaringan daripada Ousmane Dembele dan Goncalo Ramos sekali gus meletakkan PSG sebagai calon pilihan untuk memenangi kejuaraan kali ini.
PSG kini sudah memastikan kemenangan ke 48 sepanjang musim 2024/25 untuk mereka mencatat rekod baharu kelab itu dengan mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini menerusi 47 kemenangan semusim pada 2015/16.
“Real Madrid baharu saja dibina sedangkan kami sudah bekerja bersama bagi tempoh dua tahun, jadi semua yang berlaku ini adalah perkara normal. Dia (Xabi Alonso) perlukan masa dan dia tidak boleh dinilai hanya dengan keputusan ini,” kata Enrique. – AGENSI