fbpx

K2

Bolehkah suami minta semula cincin lepas cerai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suami yang meminta kembali barang pemberian kepada isteri tanpa sebab khulu’ adalah haram dan berdosa. – Gambar hiasan

APAKAH hukumnya suami minta semula cincin dan gelang yang telah diberi atau dipakaikan semasa akad nikah selepas perceraian? Duit mas kahwin telah diberi asing mengikut kadar ketetapan negeri (RM300). Apakah status pemberian barang kemas tersebut? Bukankah ia hak mutlak isteri? Adakah amalan minta semula pemberian ketika akad nikah merupakan salah satu adat negeri memandangkan bekas suami bukan orang Selangor seperti saya tapi Melaka?

JAWAPAN: Kami tidak menemui apa-apa dokumen perundangan yang meyakinkan dan menyokong kenyataan bahawa menjadi adat sebahagian negeri untuk memberikan semula pemberian ketika nikah kepada suami.

Tetapi kami sebutkan di sini dalam bab pertunangan, Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa: “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Memandangkan isu di sini melibatkan perkahwinan dan perceraian, kami tidak bahaskan perihal balasan dalam pertunangan. Berikut kami nyatakan perbandingan adat tersebut dengan beberapa konsep dalam hukum pernikahan.

Dari satu sudut, adat berkenaan jika dipaksakan ke atas pihak perempuan, maka adalah salah satu bentuk bid’ah yang mungkar. Ini kerana mengikut hukum syarak, pihak lelakilah yang sepatutnya memberikan pampasan mut`ah kepada isteri dan bukannya daripada isteri yang telah ditalakkan.

Firman Allah:“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.” (Surah al-Baqarah: 241)

Ayat ini mengandungi huruf lam al-tamlik yang membawa kepada pemilikan, dengan kadar yang mengikut uruf. Maka tidak dikadarkan perkara yang tidak wajib, melainkan perkara itu wajib jua.

Oleh itu, siapa yang menegahnya adalah orang yang bukan bertakwa, justeru, memberinya adalah kewajiban. (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/184)

Dengan dalil ini, jelaslah bahawa kewajipan memberikan pampasan perceraian bukanlah tanggungjawab bekas isteri sebaliknya adalah pihak suami.

Menuntut kembali pemberian adalah diharamkan. Ulama berkata, tidak dihalalkan kepada pemberi untuk meminta pulang barang yang telah diberikan, melainkan al-asl (bapa, ibu, datuk dan nenek) meminta daripada al-far’ (anak dan cucu) dan pemberian yang bersyarat.

Dalilnya adalah daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas RA – bahawa mereka membawa suatu kes kepada Rasulullah yang kemudiannya bersabda: “Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya.

Dan permisalan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.” (Riwayat Abu Daud, 3539 dan al-Tirmidzi, 1299. Al-Tirmidzi mensahihkannya)

Mahar dan cerai secara khulu’

Suami hanyalah boleh meminta balik pemberian yang diberikan ketika nikah jika tuntutannya itu adalah cerai secara khulu’. Menurut Imam al-Nawawi, khulu’ bermaksud pembubaran perkahwinan dengan suatu balasan, menggunakan lafaz talak atau khulu’. (Rujuk Minhaj al-Tolibin, 226). Perceraian secara khulu’ perlu mempunyai sighah ijab dan kabul antara suami isteri yang ingin bercerai itu seperti lafaz suami, “Aku ceraikan dikau dengan balasan gelang hantaran”, kemudian jawab isteri, “Aku terima,” atau, isteri menyebut, “Ceraikan aku, nanti aku berikan balik gelang hantaran,” kemudian dijawab oleh suami, “Baik, aku ceraikan kau.”

Jika sah ijab kabul itu, maka sahlah talak khulu’ dan wajiblah isteri itu serahkan balasan yang diminta.

Manakala mahar, itu menjadi milik mutlak pihak isteri. Memintanya kembali tanpa sebab khulu’ adalah haram dan berdosa. Allah juga mencela para suami yang menarik kembali mahar yang telah berikan kepada isterinya.

Kesimpulannya, kami tidak mengetahui adat setempat yang mewajibkan isteri memulangkan kembali hadiah yang diterima semasa pernikahan pada waktu perceraian. Sekiranya adat itu wujud sekalipun, maka hukumnya adalah tertakluk kepada keredaan bekas isteri dan ihsannya, bukannya kewajipan. Ini kerana, adat tidak boleh menghalalkan perkara yang haram, dan mengharamkan perkara halal.

Jika pemulangan hadiah itu adalah balasan dalam cerai khulu’, maka itu diharuskan kerana sifatnya adalah harta.

Justeru, isteri wajib memulangkan untuk menguatkuasakan sighah cerai khulu’. Jika tidak dipulangkan, maka tidak berlaku cerai khulu’.

Mahar tidak boleh dituntut oleh pihak suami sama ada dalam perkahwinan atau selepas perceraian kerana itu adalah isteri yang diiktiraf berdasarkan nas al-Quran.

Penggunaan harta mahar oleh suami tertakluk dengan budi bicara dan ihsan pihak isteri. Apatah lagi merampas balik harta mahar itu adalah diharamkan.

Secara asasnya, apa-apa pemberian sudah termeterai apabila berlakunya qabdh (penerimaan barang).

Justeru, tidak halal bagi seorang pemberi meminta kembali barang yang diberikan melainkan dalam kes-kes tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI