fbpx

ASEAN platform dipercayai kuasa besar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada Sidang Akhbar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – ASEAN kini muncul sebagai sebuah platform yang dipercayai oleh kuasa-kuasa besar dunia, dengan memperlihat banyak negara kini menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada blok serantau Asia Tenggara.

Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata, terlalu banyak negara yang mahu menjadi rakan kepada ASEAN melalui penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) sehingga ASEAN terpaksa mengenakan moratorium ke atas penerimaan rakan baharu.

“ASEAN telah mendapat kepercayaan daripada kuasa-kuasa besar global, di mana kita dikenali sebagai rantau yang aman dan mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik.

“Banyak negara sedang beratur untuk menandatangani TAC, iaitu langkah pertama untuk menjadi rakan ASEAN,” katanya dalam sidang media penutup selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohamad berkata, ASEAN kini mengenakan moratorium bagi mengehadkan kemasukan rakan dialog baharu.

“Ada moratorium sekarang, supaya kita tidak menerima rakan dialog baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan bahawa terdapat pengecualian bagi satu atau dua negara yang dinilai boleh memberi nilai tambah kepada ASEAN.

“Ada rakan dialog yang boleh bawa nilai tambah besar kepada ASEAN. Jadi kita tidak terlalu ketat dalam pelaksanaan moratorium itu,” jelasnya.

Sepanjang AMM yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai, sebanyak 21 mesyuarat melibatkan ASEAN dan rakan luarannya telah diadakan, selain sesi-sesi dua hala yang lain.

Mohamad turut memaklumkan bahawa pada 9 Julai lalu, Algeria dan Uruguay secara rasmi menyertai TAC, menandakan komitmen mereka kepada prinsip kerjasama aman dan keharmonian serantau.

“Setakat ini, sebanyak 57 negara telah menyertai TAC,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI