fbpx

Acara kebudayaan, makanan tular tak pernah diberi kebenaran – MBI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar TikTok acara berkenaan yang dimuat naik penganjur untuk menarik penyertaan vendor.

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah memberikan kebenaran terhadap penganjuran sebuah acara kebudayaan dan makanan yang dipromosikan seorang penganjur di media sosial sejak dua bulan lalu.

MBI dalam kenyataannya berkata, acara yang dipromosikan secara giat oleh penganjur menerusi akaun TikTok itu dikatakan akan diadakan di premis milik MBI.

“MBI ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kebenaran telah diberikan kepada penganjur tersebut untuk menganjurkan acara berkenaan di kawasan milik MBI.

“Promosi yang dilakukan ini adalah satu bentuk iklan palsu dan mengelirukan dan pihak kami menasihatkan orang awam serta vendor yang berminat agar berhati-hati,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di sebuah akaun TikTok @harmony planet yang memuat naik kandungan bertajuk Ipoh Starlight Night Market – Global Vendor Recruitment! dengan tujuan menarik penyertaan vendor ke acara berkenaan.

Pada masa sama, MBI berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami oleh mana-mana pihak yang menerima tawaran atau menyertai acara yang diiklankan secara tidak sah itu.

“Orang awam dinasihatkan untuk menghubungi wakil rasmi MBI melalui saluran yang disahkan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan sebarang acara atau aktiviti yang melibatkan MBI.

“Pihak MBI juga ingin memberi amaran keras bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati memburukkan, memperlekeh atau mencemarkan nama baik MBI melalui penggunaan nama, premis atau kapasiti rasmi kami tanpa kebenaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI