fbpx

Young Tigers perlu buktikan program pembangunan berkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad hoki remaja negara menutup aksi Kumpulan B menentang Uzbekistan di Dazhou, China, semalam. -MHC

PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara perlu membuktikan keberkesanan program pembangunan akar umbi apabila turun menentang Pakistan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Piala Asia Remaja B-18 2025, esok.

Ketua jurulatih, Mohd. Sufian Mohamad menegaskan aksi menentang Pakistan bukan sekadar perlawanan separuh akhir tetapi juga medan untuk mengangkat kredibiliti usaha pembangunan jangka panjang yang dijalankan.

“Pasukan bawah 18 tahun ini adalah pasukan pembangunan hoki kebangsaan. Jadi, saya mahu pemain bermain bersungguh-sungguh demi negara dan untuk membuktikan program pembangunan yang dijalankan selama ini benar-benar berkesan,” katanya.

Sebagai persiapan taktikal, Sufian membawa seluruh pasukan menyaksikan aksi Pakistan menentang China kelmarin untuk melakukan analisis terperinci terhadap kekuatan lawan.

“Saya minta pemain sendiri kenal pasti pemain utama Pakistan, cara mereka bermain dan sistem taktikal yang digunakan. Semua itu akan kita bincangkan semasa mesyuarat pasukan nanti,” katanya.

Jurulatih itu juga percaya proses analisis bersama itu akan menjadikan pemain lebih faham terhadap keperluan permainan dan tanggungjawab masing-masing di atas padang.

“Bermainlah dengan sepenuh kemampuan sehingga minit terakhir. Fokus dan disiplin terhadap strategi amat penting untuk perlawanan seperti ini,” tegasnya.

Pakistan muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan China dan bakal menjadi cabaran terbesar skuad muda negara yang layak ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.

Misi mara ke final bukan sekadar untuk pingat, tetapi sebagai isyarat jelas Malaysia kini bersedia melahirkan generasi baharu yang mampu menggalas cabaran di pentas lebih tinggi. KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI