PETALING JAYA – Sebuah keluarga di Ireland mencuri perhatian orang ramai apabila membeli barangan runcit keluaran Malaysia di negara mereka.
Menerusi video tular yang dimuat naik @samantha.smith15 di TikTok, antara barangan runcit yang dibeli adalah air tin, keropok Super Ring, buah laici tin, pes nasi goreng, satay segera dan lain-lain.
Namun yang paling mencuri perhatian adalah sepeket keropok Super Ring yang paling digemari oleh anak lelaki Samantha.
Katanya, keropok tersebut dibeli pada harga €1.5 (bersamaan RM7.46 sepeket) dimana harganya tiga kali ganda lebih mahal berbanding dijual di Malaysia.
Namun, pemilik video tersebut menyatakan bahawa harga sedemikian bagi sepeket keropok adalah normal di negara itu.
“Ia mahal dalam Ringgit, tapi normal dalam Euro. Anak saya sangat sukakan Super Ring,” tulisnya di ruangan komen.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai rakyat Malaysia yang terhibur melihat video berkenaan sehingga ada yang meminta Samantha membuat lebih banyak konten membeli barangan Malaysia.
“Patutlah Super Ring dekat Malaysia selalu tiada, rupanya semuanya kat Ireland,” komen Nisa.
“Terhibur tengok anak beranak ‘review’ barangan Malaysia. Terima kasih sebab membeli dan sokong produk kami,” komen Saidah.
“Buat lagi konten beli barangan Malaysia. Banyak lagi makanan sedap awak perlu cuba,” komen Alif.
Sebelum ini, salah satu video Samantha ketika pergi ke kedai runcit barangan Malaysia di Ireland tular sehingga mendapat lebih 1.3 juta tontonan.
Hasrat mereka untuk pergi ke kedai runcit tersebut adalah bagi mengubati kerinduan terhadap makanan dan minuman Malaysia.
Samantha dan suami beserta seorang anak lelaki mereka ‘jatuh cinta’ dengan Malaysia apabila melancong ke Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Bagi mereka, selain kawasan pelancongan yang indah, makanan dan minuman sangat sedap menjadi daya penarik buat pelancong sepertinya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan. – KOSMO! ONLINE
@samantha.smith15 We bought Malaysian groceries at Hibiscus shop, Dublin Ireland 🇲🇾🇮🇪✨ Super Rings, Mamee Monster, laksa, lychees & more! But how much did it cost? #malaysianfood #malaysia #malaysiatiktok ♬ original sound – Life with the Smith’s ☘️