PETALING JAYA – Keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan perubatan yang telah merawat negarawan itu di Institut Jantung Negara (IJN).
Anaknya, Datin Marina Mahathir berkata, beliau dan seluruh keluarga hanya mampu bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk bersama figura berkenaan sehingga kini.
“Hari ini bapa genap 100 tahun. Ada masanya kami benar-benar merasakan hari ini mungkin tidak akan tiba, terutamanya pada tahun 2007 apabila beliau menjalani dua pembedahan jantung dalam tempoh dua minggu.
“Ia mengambil masa yang sangat lama untuk pulih. Tetapi dengan izin Allah SWT, beliau berjaya melaluinya dan hari ini kami berada di sini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada para pakar bedah, pakar bius, jururawat, ahli fisioterapi, pakar pemakanan dan lain-lain yang telah merawat beliau di IJN,” katanya di media sosial.
Marina berkata, walaupun mempunyai seorang ayah berusia 100 tahun yang masih sihat dan aktif, namun tanda-tanda usia tua tetap ada tetapi hanya sedikit.
“Tangan kelihatan urat di bawah kulit yang menipis dan jarang-jarang berlaku seperti sedikit pelupa, atau tidak mendengar dengan jelas apa yang dikatakan.
“Namun begitu, kami tetap bersedia menghadapi (perkara) yang tidak dapat dielakkan, kerana kita tahu hari itu akan tiba juga dan hanya mampu berdoa agar Allah melimpahkan rahmat dan belas kasih-Nya.
“Selamat hari lahir Daddy! Semoga kesihatan dan tenaga sentiasa baik seperti hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE