MELAKA – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Haqimy Mohd. Amin, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke lampu isyarat Tangga Batu.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan telah membelok ke kanan jalan untuk memasuki simpang menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kereta tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di lokasi manakala pemandu kereta lelaki berusia 31 tahun tidak cedera,” katanya kepada pemberita.-KOSMO! ONLINE