KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim diberikan penghormatan cukup besar oleh Olahraga Malaysia (MA) apabila beliau dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup badan induk berkenaan.
Perkara itu diumumkan sendiri Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim yang menyifatkan pelantikan Shahidan sebagai salah satu langkah bagi mengangkat semula sukan olahraga tanah air.
“Selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum ini, kita sudah teruskan dengan pelantikan. Sesuatu yang berbeza berbanding sebelum ini adalah kita melantik bekas presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup.
“Pelantikan ini adalah kerana kami ada objektif sama, iaitu untuk menjadikan olahraga sebagai sukan terbaik dari segenap sudut, termasuk pertandingan atau latihan,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis MA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.
Sebagai rekod, pelantikan itu menyaksikan Shahidan kembali ke MA selepas beliau tidak mempertahankan jawatan presiden pada AGM bulan lalu di mana beliau membuat keputusan menarik diri saat akhir.
Sementara itu, Karim turut mengumumkan pelantikan Ahli Majlis yang terdiri bekas atlet serta bekas pegawai tinggi kerajaan.
Antara yang diberi kepercayaan adalah bekas ratu heptatlon negara, Datuk Zaiton Othman, G. Shanti (lari pecut), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Zaidatul Husna Zulkifli (lari pecut) serta tokoh sukan berpengaruh, Datuk Seri Harjeet Singh.
“Pelantikan mereka adalah bagi memperkukuhkan struktur MA selain menjalin kerjasama dengan atlet. Mereka memahami keperluan atlet dan bersedia membawa perubahan positif dalam organisasi.
“Objektif utama kami berhubung pelantikan bekas atlet ini adalah untuk membawa perubahan dalam MA kerana mereka lebih arif tentang keperluan serta cabaran dihadapi atlet negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, turut dilantik dalam pentadbiran baharu adalah tokoh yang memiliki latar belakang perkhidmatan awam dan ketenteraan, iaitu Datuk Salim Parlan dan Mejar Jeneral (B), Datuk K P Bhaskaran.
Dalam perkembangan sama, Zaidatul Husna diumumkan sebagai pengurus besar baharu badan induk tersebut, menggantikan Nurhayati Karim yang dilantik sebagai Setiausaha Agung MA. – KOSMO! ONLINE