IPOH – Pengusaha dan pentadbir sekolah agama swasta, pondok atau pusat tahfiz di negeri ini diminta memastikan pusat pengajian mereka memenuhi spesifikasi pembinaan bangunan masing-masing bagi menjamin keselamatan para pelajar serta penghuni.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, di negeri ini terdapat sebanyak 1,006 institusi pendidikan agama telah berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Katanya, institusi itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan.
Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan hanya 85 institusi atau sekitar 8.4 peratus daripada jumlah keseluruhan itu yang mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan.
“Saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab, para pemegang taruh, khususnya pentadbir institusi dan agensi teknikal, dapat duduk semeja untuk menyelaraskan tindakan penyelesaian secara tuntas, bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE