BANGKOK – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Thailand kerana menjalankan aktiviti pengubahan wang haram melalui platform perjudian online melibatkan urusniaga melebihi 11.5 bilion baht (RM1.4 bilion), lapor akhbar Bangkok Post.
Suspek berusia 26 tahun itu diberkas selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang dari Kuala Lumpur semalam.
Tangkapan dibuat berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi pada 16 Disember tahun lalu.
Suspek berdepan pertuduhan menjalankan operasi perjudian online tanpa lesen dan melakukan aktiviti pengubahan wang haram, demikian menurut pihak berkuasa imigresen.
Siasatan awal mendapati suspek memiliki sebuah syarikat dipercayai menjadi saluran bagi pengedaran dana haram daripada laman web sesawang perjudian, HYDRA888.
Dia kemudian diserahkan kepada Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) untuk tindakan undang-undang selanjutnya. – AGENSI