KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya remaja warga United Kingdom berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang baru-baru ini masih berada di dalam negara.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti maklumat yang boleh membantu usaha pengesanan dan penyelesaian kes terbabit.
Jelasnya, kes ini sedang disiasat oleh JSJ sebagai kes orang hilang.
“Siasatan awal PDRM mengesahkan bahawa remaja berkenaan telah memasuki Malaysia melalui KLIA dan dipercayai masih berada di dalam negara pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 017-736 9187,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata IPD KLIA membuka kertas siasatan kertas inkuiri polis berkaitan orang hilang berhubung kes terbabit.
Katanya, polis juga berhubung dengan pihak kedutaan Britain untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan remaja itu, David Balisong.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban juga mengesahkan Balisong masuk ke negara ini pada 7 Jun lalu, dengan rekod kemasukan menunjukkan remaja itu tiba di KLIA pada 8.29 pagi.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel. – KOSMO! ONLINE