MANILA – Pasukan mencari dihantar ke sebuah tasik di selatan ibu negara Filipina, Manila, hari ini untuk mencari berpuluh-puluh mayat penyabung ayam yang didakwa dibunuh oleh pasukan polis, kata Jabatan Kehakiman.
Seramai 15 pegawai dan anggota polis disiasat berhubung siri kehilangan misteri pada tahun 2022 dalam industri sabung ayam di negara itu.
Kes itu kembali mendapat perhatian umum bulan lalu selepas seorang saksi muncul di kaca televisyen dan mengaku dia mengetahui di mana mayat mangsa dicampak di dalam Tasik Taal yang terletak kira-kira dua jam pemanduan ke selatan Manila.
Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla berkata, beliau mempunyai ‘berbilang saksi’ yang boleh mengenal pasti lokasi orang hilang di tasik itu, merangkumi kawasan seluas lebih 230 kilometer persegi.
“Tujuan misi hari ini adalah mengenal pasti kawasan liputan pencarian, melihat keadaan air tasik dan mengukur kedalaman kawasan liputan,” kata jabatan kehakiman dalam satu kenyataan.
Pasukan Pengawal Pantai Filipina akan menyertai penilaian awal bersama polis.
Ketua Polis Negara, Nicolas Torre minggu ini berkata, pihak berkuasa perlu bertindak pantas.
“Musim taufan akan tiba tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan pada Selasa lepas.
“Kami bergerak pantas untuk sekurang-kurangnya cuba mencari mayat. Kami sedar misi ini sangat, sangat mencabar,” tambahnya.
Menurut Remulla, beliau telah meminta bantuan teknikal dari Jepun termasuk bantuan dalam memetakan dasar tasik, yang sebahagiannya sedalam 172 meter (564 kaki).
Kedutaan Jepun di Manila memberitahu AFP bahawa pihaknya telah menerima permintaan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Torre bagaimanapun percaya Filipina mempunyai peralatan yang diperlukan untuk memulakan pencarian.
“Negara ini mempunyai industri perkapalan yang sangat, sangat mantap di sini dan di kawasan lain di Filipina, jadi kami boleh melakukannya.”
Rakyat Filipina daripada semua lapisan masyarakat mempertaruhkan berjuta-juta dolar setiap minggu dalam perlawanan laga ayam jantan yang bertarung hingga mati dengan taji logam diikat pada kaki haiwan itu.
Sukan yang diharamkan di banyak negara lain itu terselamat daripada sekatan pandemik dengan beralih secara online, menarik lebih ramai penjudi yang menggunakan telefon bimbit mereka untuk membuat pertaruhan.
Bekas presiden Rodrigo Duterte mengharamkan penstriman langsung sabung ayam sejurus sebelum melepaskan jawatan pada tahun 2022, tetapi aktiviti itu terus berlanjutan kerana penguatkuasaan yang longgar. – AFP