SEREMBAN – Peranti yang mampu menyelesaikan masalah kritikal dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terutamanya di kawasan tanpa capaian internet muncul johan sempena sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.
Peranti yang diberi nama ‘Dr Tracker’ itu memenangi Kategori Penciptaan PDRM, telah dibangunkan oleh 10 pegawai dan anggota daripada Kumpulan Artificial Intellegent (AI), Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA).
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sejajar reformasi perkhidmatan awam, PDRM perlu memperkemaskan proses kerja melalui pendigitalan sistem dan operasi ke arah perkhidmatan dan tadbir urus yang lebih profesional, efisien dan kompeten agar lebih berdaya saing.
“Perkembangan semasa menyaksikan pendekatan teknologi pintar, automasi, data raya serta kecerdasan buatan mula mendominasi dan kini menjadi teras utama dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi kepolisan.
“Inisiatif Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu adalah penting dan bertepatan dengan keperluan organisasi untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja melalui kaedah yang inovatif dan kreatif lanjutan suntikan elemen pendigitalan, AI dan internet of thing dalam penghasilan inovasi, sekali gus menjadi pemacu utama transformasi PDRM,” katanya.
Menurut Ketua Pasukan Projek, Inspektor Rozaimi Ahmad Zaidi, inovasi berkenaan tercetus daripada idea Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dr. Che Ghazali Che Awang sendiri. – KOSMO! ONLINE