BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berharap pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025 dapat menyuntik motivasi dan semangat kepada atlet muda khususnya dalam sukan olahraga.
Olimpian negara itu menjadi pelari pecut terakhir Malaysia meraih pingat emas berganda acara 100 meter (m) dan 200m Sukan SEA ketika melakukannya pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.
Nazmizan, 44, mengakui pelantikan itu adalah tanggungjawab besar tetapi peranannya bukan tertumpu kepada olahraga semata-mata, sebaliknya menyeluruh melibatkan semua jenis sukan yang dipertandingkan.
“Namun, jika kehadiran saya secara tidak langsung mampu memberi inspirasi atau motivasi kepada atlet-atlet olahraga, itu adalah satu bonus,” katanya.
Legenda pecut dari Terengganu itu akan bergandingan bersama dua timbalan dilantik iaitu Datuk Kenny Goh dari sukan badminton dan Jivan Mohan (hoki) membantu CDM yang juga legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah.
Mengulas prospek atlet pecut negara, Nazmizan berpendapat, bintang muda Johor, Danish Iftikhar Roslee yang sedang meningkat naik mampu mencipta sesuatu pada temasya akan dianjurkan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember depan.
“Saya nampak ada sinar dalam atlet muda seperti Danish. Usianya baru 18 tahun, tapi dia berjaya mencatat masa yang bagus.
“Kita perlukan atlet seperti ini yang hadir bukan sekadar untuk menyertai tetapi ada misi jelas mahu menang pingat emas. Ini yang perlu ditanam dalam fikiran semua atlet,” katanya.
Danish memberi bayangan positif selepas merakam masa 10.32 saat (s) dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu baru-baru ini sekali gus layak ke Sukan SEA 2025..
Sebagai rekod, Nazmizan muncul atlet terakhir negara menjuarai acara 200m Sukan SEA dengan kali terakhir Malaysia meraih pingat emas 100m Sukan SEA menerusi Muhammad Haiqal Hanafi pada edisi Manila 2019 di Filipina.