ALOR SETAR – Seorang pegawai polis percubaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan sebagai balasan untuk melepaskannya daripada jaminan polis bulan lalu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sebuah balai polis di negeri ini yang menjadi tempat suspek bertugas kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi untuk permohonan reman.
Majistret Noor Fazlina Musa membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memerintahkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah meminta rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan bagi membolehkannya dilepaskan daripada jaminan polis, sedangkan tiada bayaran yang perlu dijelaskan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE