BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang warga emas berusia 76 tahun maut selepas sebuah basikal elektrik tiba-tiba meletup di sebuah restoran di negeri New York, lapor akhbar New York Post.
Letupan berlaku sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan) di restoran Singas Famous Pizza dekat kejiranan Flushing, 4 Julai lalu.
Mangsa bernama Yuet Kiu Cheung dilaporkan terperangkap di dalam tandas apabila basikal elektrik itu terbakar.
“Mangsa berada di dalam tandas semasa kejadian. Dia tidak dapat keluar kerana peranti itu diletakkan di luar bilik air.
“Cheung terpaksa menempuh api ketika menuju ke pintu keluar. Namun, dia tidak dapat sampai ke sana dengan cukup pantas,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York (FDNY), Robert Tucker.
Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan.
Empat pelanggan yang berada di dalam restoran berjaya menyelamatkan diri, demikian menurut FDNY.
Kebakaran yang besar menyebabkan restoran itu musnah, manakala basikal itu ditemukan rentung. – AGENSI