PETALING JAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC) yang ditubuhkan bagi memperkasa sistem perundangan sektor maritim negara.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan berkata, seramai 23 ahli tetap dilantik menganggotai jawatankuasa itu, manakala Hakim Mahkamah Dagang dan Admiralti, Ong Chee Kwan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan akan menjalankan semakan, kajian dan penggubalan undang-undang maritim secara berfasa, mengambil kira skop dan kerumitan instrumen perundangan yang terlibat.
“MLRRC turut diberi mandat turut diberikan mandat menyemak dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap undang-undang maritim di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.
“(Ini) memandangkan sistem perundangan maritim negara bersifat polisentrik.” kata kenyataan itu hari ini.
MOT menjelaskan, lebih 94.6 peratus dagangan negara bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan, justeru Malaysia memerlukan sistem undang-undang maritim yang cekap, relevan dan sejajar dengan standard antarabangsa.
Tambah kenyataan itu, fasa pertama tugas MLRRC akan menumpukan kepada semakan enam instrumen perundangan utama.
“(Ia melibatkan) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ord. 70/1952], Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) [Ord. No. 11/1960] dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak) [Ord. No. 2/1960],
“(Turut melibatkan) Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 [Akta 140], Akta Lembaga Pelabuhan 1963 [Akta 488] dan Akta (Penswastaan) Pelabuhan 1990 [Akta 422],” jelasnya.
Bagi memperkukuh kepakaran teknikal katanya, seramai lapan pakar Ad Hoc (secara khas) turut dilantik merangkumi bidang perkapalan, operasi pelabuhan, latihan maritim dan undang-undang perkapalan antarabangsa.
“Pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan.
“(Ini) seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara serta menyokong agenda reformasi perundangan maritim negara ke arah sebuah sistem yang lebih mampan, inklusif dan dinamik,” katanya. – KOSMO! ONLINE