LONDON – Manchester United dilapor sudah membuka rundingan bersama ejen pemain Atalanta, Ederson Silva untuk melihat potensi perpindahan pemain itu ke Old Trafford pada jendela kali ini.
United dikatakan berminat untuk menambah kreativiti mereka di bahagian tengah dengan membawa masuk pemain berusia 26 tahun itu, namun mereka perlu berdepan cabaran dua lagi pasukan dari Serie A.
Prestasi dan persembahan cemerlang sepanjang musim lalu dalam saingan di Itali menyaksikan United terpikat dengan aksi dipamerkan Ederson yang dinilai pada harga £52 juta (RM299.56 juta), tetapi Inter Milan dan Juventus juga menyatakan minat.
“Pemain tengah Atalanta, Ederson sedang menarik minat Manchester United, Inter Milan dan Juventus pada jendela perpindahan kali ini.
“Ketiga-tiga kelab sudah menzahirkan hasrat mereka kepada Atalanta untuk mendapatkan pemain tersebut dan kelab itu mahukan nilai £52 juta (RM299.56 juta) untuk bersetuju melepaskan pemain itu dengan tanpa sebarang masalah,” menurut laporan di Itali.
Berdasarkan laporan tersebut juga, pengendali United, Ruben Amorim dikatakan sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk pihak pengurusan kelab itu untuk memulakan rundingan.
United juga dilapor bukan sahaja mahukan khidmat Ederson dari Atalata, tetapi mereka sedang memburu khidmat penjaga gol kelab tersebut, Marco Carcesecchi yang dianggap calon pengganti Andre Onana yang sedia dilepaskan.
Ederson dianggap pemain yang baik untuk Amorim berdasarkan gaya permainan yang versatil dan dinamik selain mampu beroperasi di pelbagai posisi di bahagian tengah serta memiliki kekuatan ketika melakukan terjahan. – AGENSI