PETALING JAYA – Malaysia dan Sri Lanka sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala yang merangkumi bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan, serta tenaga kerja mahir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan erat itu bukan sahaja bermanfaat kepada kedua-dua negara, tetapi turut menyumbang bagi kestabilan dan pembangunan serantau.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Pekerjaan Luar Negara dan Pelancongan Sri Lanka Vijitha Herath.
Pertemuan itu diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Saya turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Sri Lanka dalam membentuk masa depan rantau yang lebih inklusif, aman dan sejahtera.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Sri Lanka demi mencapai kemajuan bersama.
“Bukan sahaja untuk rakyat kedua-dua negara, malah untuk memperkukuh komuniti ASEAN yang lebih bersatu, makmur dan berdaya tahan,” katanya menerusi media sosial. – KOSMO! ONLINE