HANOI – Satu klip video tular memaparkan berpuluh-puluh penduduk mengutip empat tan buah laici yang bertaburan selepas sebuah lori kemalangan terbalik, lapor portal berita VNExpress semalam.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 11.50 malam (waktu tempatan) di Thanh Oai dekat ibu kota Vietnam, Hanoi pada Sabtu lalu.
Pemandu lori bernama Bui Thi Lich, 38, berkata, dia terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Hanoi ke wilayah Phu Tho.
“Lori saya terbalik menyebabkan semua laici jatuh di atas jalan. Ketika kenderaan saya ditunda, saya dan suami dibawa ke bengkel berhampiran untuk membaiki lori tersebut,” kata Lich.
Selepas kembali ke lokasi kemalangan, Lich terkejut melihat orang ramai berpusu-pusu mengutip buah laici miliknya.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan puluhan penduduk mengutip laici yang berterabur di tepi jalan.
Malah, ada meletakkan buah itu di dalam plastik dan guni yang dibawa dari rumah.
Jurucakap Jawatankuasa Rakyat Komuniti Dan Hoa berkata, mereka telah mengerahkan polis untuk menjalankan siasatan. – AGENSI