PETALING JAYA – Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam dengan melaksanakan
reformasi sistem kehakiman negara yang berasaskan keterangan dan telus.
Sehubungan itu, satu perbincangan diadakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) hari ini.
Perbincangan itu melibatkan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Patrick Insol dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.
BHEUU JPM dalam kenyataan berkata, perbincangan tersebut diadakan berhubung keprihatinan rakyat mengenai reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
“Dalam sesi ini, kedua-dua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas turut menyampaikan kebimbangan berhubung perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman.
“Selain itu, mereka juga menekankan kepentingan penelitian yang lebih
mendalam bagi memastikan proses tersebut lebih telus dan diyakini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, perbincangan tersebut turut bersetuju untuk melaksanakan kajian perbandingan awal (preliminary comparative research) mengenai pendekatan sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih iaitu United Kingdom, India, Australia dan Singapura.
“Ini akan memberi kefahaman holistik tentang proses pelantikan kehakiman di negara-negara dengan sistem yang serupa.
“Ini bagi membolehkan Malaysia menilai secara berasaskan keterangan keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara.
“Kajian ini juga bertujuan untuk menilai model pelantikan kehakiman yang berkesan, mengenal pasti amalan terbaik dan mengesyorkan pembaharuan yang sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan”, katanya.
Sementara itu BHEUU JPM berkata kerajaan mengalu-alukan pandangan dan
maklum balas orang awam mengenai perkara ini.
Jelasnya, pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.- KOSMO! ONLINE