fbpx

Kastam rampas rokok seludup, arak lebih RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ilyas Queek menunjukkan barang rampasan penyeludupan rokok dan minuman keras hasil empat serbuan dijalankan di beberapa premis sekitar Klang dan Rawang, Selangor sepanjang bulan Mei lalu. Foto - IHSAN JKDM

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras dalam empat serbuan sepanjang bulan Mei lalu melibatkan nilai sitaan keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM5.48 juta.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kesemua operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat yang membawa kepada serbuan di beberapa premis sekitar Klang dan Rawang, Selangor.

Menurutnya, menerusi kes pertama, pada 5 Mei lalu, jam lebih kurang 5.30 petang, sepasukan anggota dari Unit Operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di kawasan perindustrian Kapar, Klang.

“Pemeriksaan menemui 59,489 botol atau 20,527.30 liter minuman keras pelbagai jenama bersama label cukai palsu, pelekat botol, kotak pembungkusan minuman keras, botol kosong dan mesin pemampat botol.

” Nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM143,691.10, manakala anggaran cukai yang terlibat ialah RM1,404,712.07,”katanya ketika dihubungi.

Katanya, bagi kes kedua, pada 13 Mei 2025 jam 3.30 petang, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah gudang di Taman Klang Utama, Klang.

” Hasil pemeriksaan menemui 61,864 paket atau 1,110,628 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki sebagai barang larangan import tanpa permit yang sah. Nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM123,585.44, manakala cukai dianggarkan sebanyak RM745,373.02.

Menurut beliau, pada 19 Mei 2025 jam 3 petang, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Anugerah Suria, Rawang.

” Pemeriksaan menemukan 143,600 paket atau 1,809,600 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dan saiz. Nilai sitaan mencecah RM246,144.00, manakala anggaran duti atau cukai ialah RM1,218,950.40,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI