JITRA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memastikan segala bantuan persekolahan disalurkan kepada anak sulung pasangan suami isteri yang ditemukan lemas di Sungai Korok, di sini Isnin lalu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN negeri, Abdul Rahim Mat berkata, bantuan itu akan diberikan kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kini yatim piatu.
“Apabila adik ini (Putri Qisya) telah bertukar status kepada yatim piatu, maka semua bentuk bantuan yang ada di sekolah yang disalurkan oleh kerajaan, maka adik ini layak (menerimanya).
“Pertama sekali, kita akan uruskan balik sarapan pagi di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan adik ini juga akan dapat bantuan ‘one-off’ bencana daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dalam bentuk tunai,” katanya selepas menziarahi kanak-kanak itu di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, di sini.
Katanya, Putri Qisya juga adalah pelajar sekolah dan dilindungi insurans.
“Apabila kemalangan yang melibatkan kematian, memang ada pampasan dalam bentuk tunai yang juga akan disalurkan kepada Putri Qisya sebagai waris,” ujarnya.
Menurutnya, JPN juga bersedia membantu membuka akaun bank untuk Putri Qisya bagi memudahkan urusan kewangan hasil sumbangan pelbagai pihak.
“Kita juga nak mohon waris agar dapat membantu dalam pengurusan kewangan ini kerana banyak sumbangan yang diterima dan perlu diuruskan sebaik mungkin. Ini kerana matlamat utama kita untuk memastikan pendidikan adik Qisya ini terjamin sehingga ke menara gading,” jelasnya.
Katanya, proses pemindahan sekolah kanak-kanak terbabit sekiranya dia mahu bersekolah di sekolah berasrama atau berhampiran rumahnya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, kaunselor dari sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan JPN Kedah akan memberikan kaunseling kepada Putri Qisya secara berterusan bagi membantu menguatkan emosinya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Seri Aman, di sini. – KOSMO! ONLINE